1000 MaCaM

"Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok".

Ahad, 13 Mac 2011

GKB 34: Pelbagai Dialek Negeri dalam Lagu


Salam dihulur, sapa diberi, semoga sejahtera diri,
Negara Malaysia kaya dengan pelbagai bahasa daerah atau dikenali sebagai dialek. Dialek juga boleh diertikan sebagai loghat atau pelat dan merupakan satu kelainan bahasa yang berbeza daripada segi bentuk sebutan, tatabahasa dan kosa kata berbanding bahasa baku. Dialek negeri dapat dilihat dalam lagu-lagu negeri, contohnya lagu “Anak Tupai” bagi negeri Kelantan, “Terengganu kita” bagi negeri Terengganu, “Apo Kono Eh Jang” bagi Negeri Sembilan, “Durian Dah Berbunga” bagi negeri Perak dan sebagainya. Dalam kelas Sosiolinguistik Bahasa Melayu sendiri, pensyarah, iaitu Dr. Siti Saniah telah menayangkan video lagu dalam dialek Kelantan, “Anak Tupai” oleh Halim Yazid dan telah mengupas dengan lebih terperinci mengenainya dari segi kosa kata, sebutan, tatabahasa, dan sebagainya.
         
          

Lagu dalam dialek Kelantan atau juga dikenali sebagai lagu Dikir Barat tersebut mengandungi mesej yang cukup bermakna dan disimbolikkan hanya dengan seekor tupai, iaitu perbuatan yang jahat akan terbongkar juga bak kata pepatah ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’. Dialek atau bahasa daerah yang digunakan dalam lagu-lagu juga mampu memberikan pendedahan kepada masyarakat agar memahami setiap dialek yang dituturkan oleh masyarakat di setiap negeri dalam negara yang sama, iaitu Malaysia. Di samping itu, dialek yang digunakan dalam lagu-lagu juga boleh mengeratkan ikatan silaturrahim sesama masyarakat jika semua masyarakat pandai bertutur dan berkomunikasi dengan menggunakan dialek semua negeri. Contohnya, jika masyarakat Selangor bertutur dengan masyarakat Kelantan dengan menggunakan dialek Kelantan, perhubungan mereka akan menjadi lebih mesra dan ikatan silaturrahim dapat dijalinkan. 

GKB 33: Apakah Maksud Datuk Nenek dah Habis dah?

Salam Satu Malaysia,
Pada 21 Februari 2011, pukul 8 pagi, GKB telah menghadiri kelas Kesusasteraan Melayu dalam Pembinaan Modal Insan. Walaupun dalam keadaan yang mengantuk, GKB memaksa juga hati dan segala pancaindera untuk menangkap segala yang disampaikan oleh pensyarah. Dalam kekhusyukan mendengar, pancaindera GKB yang ditugaskan untuk mendengar terdengar suatu ayat yang keluar dari mulut pensyarah tersebut. Bunyinya seperti:

          Pensyarah: Datuk nenek dah habis dah

GKB ingin mengulas makna frasa “dah habis dah” yang diucapkan oleh pensyarah tersebut. Jika diteliti dari konteks ayat, frasa tersebut membawa makna “sudah meninggal”. Jadi wajarkah frasa tersebut digunakan oleh seorang pensyarah? Jawapannya adalah tidak wajar kerana frasa tersebut menimbulkan konotasi negatif dan memberikan tanggapan buruk para pelajar terhadapnya. Kesimpulannya pensyarah mestilah menjaga setiap tutur katanya agar tidak menimbulkan sebarang kemusykilan.
gambar hiasan

GKB 32: Berita Ringkas Radio (Klasik. Fm)


Salam Satu Malaysia,
Semasa berada dalam bas dalam perjalanan pulang dari kelas di Proton City, GKB telah membuka pancaindera dengar untuk mendengar lagu-lagu yang berkumandang dan juga mendengar celoteh jurucakap di radio Klasik. Fm. Sedang asyik mendengar, kemudian berkumandang pula bebrita ringkas radio tersebut. Dalam proses mendengar dengan penuh pengamatan, pancaindera dengar empunya blog GKB telah menangkap kesalahan penyebutan yang dilakukan oleh pembaca berita tersebut tetapi pembaca berita tersebut sedar akan kesalahan yang dilakukannya lantas mengulang kembali ayat yang telah diperbetulkan, Kesalahan penyebutan tersebut berbunyi:

Polis sedang mengesan…
Polis Perak sedang mengesan…

Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku. Sebagai pembaca berita walaupun hanya membaca berita ringkas di radio, pembaca berita tersebut harus mempunyai keyakinan diri dan sentiasa peka dengan perkara yang akan dibaca. Hal ini demikian kerana perkara yang disampaikan sudahpun mempunyai bahan bertulis atau bahan bercetak dan dia hanya sekadar membacanya sahaja dengan penuh berhati-hati agar berita yang disampaikan mudah untuk difahami oleh khalayak pendengar.

GKB 31: Caaakap Banyak, Bayar Kurang

Assalamualaikum, apa khabar?
Di antara pembaca setia blog GKB, siapakah yang menggunakan talian digi? Jika anda adalah salah seorang pengguna talian digi, maka anda akan mendapat masa berbual lebih lama dengan bayaran yang sedikit. Penyataan tersebut adalah dipetik dan diubahsuai berdasarkan iklan digi, iaitu:
         
          Caaakap banyak, bayar kurang.

Berdasarkan ayat di atas, iaitu  “caaakap banyak, bayar kurang” tergolong dalam majas penegasan atau repitisi. Majas adalah bahasa kias yang dipergunakan untuk menimbulkan kesan imaginatif atau menciptakan kesan-kesan tertentu kepada pembaca atau pendengarnya. Repitisi pula membawa makna perulangan kata, frasa, dan klausa yang sama dalam suatu ayat dan ayat di atas mempunyai pengulangan, iaitu pengulangan vokal /a/ untuk memberikan peneguhan atau penegasan kepada khalayak pembacanya. Dalam iklan sesuatu, penegasan atau peneguhan sedemikian dapat menarik minat dan perhatian serta memujuk para pelanggan untuk memiliki produk yang diiklankan.



GKB 30: Laksa Bermaksud Sepuluh Juta dalam Dialek Seketika Zaman Bahasa Melayu Klasik

Salam muhibah,
Laksa....Apabila disebut mengenai laksa mesti semua akan terbayangkan makanan yang sangat terkenal di negeri Pulau Pinang, Pulau Mutiara. Empunya blog GKB bahasa juga sudah meleleh air liur apabila disebut mengenai laksa yang sememangnya merupakan makanan kegemarannya. Apatah lagi dengan rasa kuahnya yang enak, ditambahkan lagi dengan belacan dan udang. Memang sangat menyelerakan. Sekarang laksa boleh dijumpa di mana-mana sahaja, dan bukan hanya di negeri Pulau Pinang sahaja.


Dalam kelas Sosiolinguistik Bahasa Melayu, laksa diertikan sebagai sepuluh juta, iaitu dalam dialek seketika zaman bahasa Melayu Klasik. Pertama kali mendengarnya terasa pelik dan unik tetapi tidak mustahil kerana pada zaman dahulu, untuk memberikan nama kepada sesuatu adalah berdasarkan persekitaran. Jadi tidak hairanlah jika makanan, iaitu laksa menamai angka sepuluh ribu.


GKB 29: Karangan Pelajar "Pekak"


Assalamualaikum,
Sebagai seorang pelajar, seseorang tidak dapat lari dari menghasilkan karangan yang diarahkan oleh guru bagi membentuk kecekapan dalam mengarang. Begitu juga dengan pelajar pendidikan khas yang mempunyai masalah pendengaran atau pelajar "pekak". Mereka tetap diajar untuk menghasilkan karangan yang berkualiti. Namun begitu, karangan mereka tidaklah seperti karangan pelajar normal. Rakan sebilik GKB merupakan seorang pelajar Pendidikan Khas dan dia telah menunjukkan beberapa karangan pelajar pekak kepada saya. Setelah membaca karangan tersebut, perut saya bagaikan mahu pecah, walaupun tidak memahami secara keseluruhannya karangan tersebut. Contoh karangan pelajar pekak seperti:

Sekolah asrama duduk tetap. Datang bapa dan ibu jumpa cakap balik cuti sekolah. Cuti sudah balik rasmi asrama. Masuk kawan benci sedih. Asrama duduk petang balik masjid masuk. Tengkap (tengok) malam balik. Air tangan sudah nak jalan kaki. Masuk kain rehat. Radio mula diri sembahyang mula. Sudah balik masuk asrama. Malam belajar asrama. Masa tengok balik turun makan. Balik asrama. Malam tidur. Esok bangun jalan kaki mandi. Sudah pakai balik asrama. Balik turun balik masjid sembahyang. Sudah balik baik asrama pakai tukar sekolah. Pagi pergi datang sekolah. Sudah balik asrama. Beg letak. Balik turun tingkap (tingkat) 2 jalan kaki. Duduk jalan kaki masuk makan. Sudah balik naik masuk. Asrama duduk. Abang dan kakak datang kereta balik rumah”.

                                           (Abdullah, 1996: 323-324)

Hanya dengan sekali baca saya juga tidak memahami perkara yang ingin disampaikan oleh pelajar tersebut. Namun, setelah beberapa kali membacanya barulah saya dapat memahami bahawa karangan tersebut menceritakan kehidupan pelajar pekak di asrama. Jika diteliti daripada setiap perkataan yang digunakan untuk membentuk ayat dalam karangan tersebut, pelajar tersebut banyak menggunakan kata kerja, kata nama dan kata adjektif, namun kata tugas kurang digunakan. Ayatnya juga tidak gramatis dan sukar untuk difahami. Secara keseluruhannya, mereka menghasilkan karangan berdasarkan bahasa yang digunakan dalam pertuturan mereka.



GKB 28: Kata-kata Cerdik Pandai

Salam perpaduan,
Pada 3 Mac 2011, GKB telah pergi ke Sekolah Menengah Dato’ Dato’ Zulkifli Mohamad, Slim River untuk merakam pengajaran makro salah seorang rakan. Semasa menunggu waktu pengajaran bermula, GKB bersama rakan duduk di salah sebuah pondok dalam sekolah tersebut dan tertarik dengan petikan kata-kata tokoh-tokoh terkemuka yang tergantung pada pondok tersebut. Antaranya, seperti:


          “Hormatilah diri sendiri dan orang lain akan hormati anda.”
                                      ….Confucius, ahli falsafah Cina


          “Iman yang teguh menghalang manusia melakukan kejahatan.”
                                      …maksud hadis


“Sesuatu kekuasaan apabila sudah terlalu tinggi, alamat bahawa masa jatuhnya semakin hampir.”
                             …Hamka


Manusia telah silau oleh rasa nikmat, lalu lupa kepada yang memberikan nikmat.”
                             …Lidah Pendeta


Kata-kata yang disusun dengan menggunakan ilmu pengetahuan yang tinggi akan menghasilkan kata-kata yang tajam, mendalam dan bermakna. Kata-kata tersebut juga mengandungi unsur estetik dan didaktik yang boleh memberikan pengajaran, contoh dan teladan kepada pembacanya. Kata-kata tersebut sesuai diletakkan di persekitaran sekolah kerna dapat memberikan pengajaran dan motivasi kepada para pelajar.