1000 MaCaM

"Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok".

Selasa, 22 Februari 2011

GKB16: Bahasa Pemujukan

Salam Ukhuwah Fi Sabilillah,
Sebagai seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), aku tidak terkecuali untuk melawati tempat yang menarik di sekitar kawasan berkenaan seperti pelajar lain, iaitu Pekan Tanjung Malim. Pada hujung minggu yang lepas aku dan sahabatku telah menghabiskan masa petang di Pekan Tanjung Malim, tambahan pula pada hari sabtu terdapat pasar malam di  pekan tersebut. Gerai demi gerai kami lawati untuk mencari makanan bagi mengisi perut yang hampir seharian tidak diisi. Setelah kami lawati gerai buah-buahan, terdengar peniaganya mempelawa kami membeli buah-buahan yang dijual olehnya dengan menggunakan bahasa pemujukan. Bahasa yang digunakan oleh peniaga seperti:
         
Penjual: Buah Murah-murah…
    Kak beli buah ni kak.
    Buah ni manis macam akak

Bahasa pemujukan ialah bahasa yang digunakan oleh para peniaga untuk menarik pelanggan. Dalam dialog di atas, penjual menggunakan bahasa pemujukan untuk menarik pelanggan supaya membeli buah-buahan di gerainya. Peniaga tersebut juga menggunakan perkataan manis yang sepatutnya digunakan untuk menunjukkan rasa sesuatu makanan seperti buah pada orang. Hal ini disebut sebagai perumpamaan antara manis buah dengan manis orang. Peniaga pula akan menggunakan sebarang bahasa untuk memujuk pelanggan supaya tertarik dengan kata-kata atau perlakuan dan sekaligus akan membeli di gerainya.

GKB15: Kerencaman Ayat Mengganggu Proses Komunikasi


Salam persaudaraan,
Dalam kelas sosiolinguistik bahasa Melayu baru-baru ini, pensyarah telah bertanyakan pelajar berkaitan panggilan atau gelaran dalam sebuah institusi kekeluargaan bagi negeri-negeri di Malaysia. Namun, perkara yang aku ingin wartakan kali ini bukanlah berkaitan dengan gelaran atau panggilan dalam institusi kekeluargaan tetapi berkaitan kerencaman ayat. Pensyarah aku telah bertanya kepada seorang pelajar berbangsa India tentang panggilan dalam keluarganya. Jawapan yang diberikan olehnya mengandungi kerencaman untuk difahami. Contoh ayatnya berbunyi:

Pelajar: Kakak kepada ibu saya dipanggil Citti

Ayat di atas boleh dianggap sebagai sebuah ayat yang rencam kerana memakan masa yang lebih untuk memahaminya. Pelajar tersebut juga boleh terus menjawab dengan menggunakan ayat “emak saudara saya dipanggil Citti”. Ayat tersebut merupakan ayat yang mudah difahami dan tidak memerlukan masa yang lama untuk memahaminya berbanding ayat yang dinyatakan oleh pelajar berkenaan. Namun demikian, penggunaan ayat yang rencam tidaklah merupakan suatu kesalahan cuma akan melambatkan komunikasi dua hala sahaja.

Sabtu, 19 Februari 2011

GKB 14: Bahasa Radio Kurang Sopan

Assalamualaikum dan salam Ukhuwah,
Diari yang kesebelas ingin GKB titipkan berkaitan dengan siaran radio. Aku yakin hampir semua orang suka mendengar radio, tambahan pula mendengar lagu-lagu yang diminati dan celoteh-celoteh dj radio yang amat mencuit dan menggelikan hati. Aku juga merupakan salah seorang yang gemar mendengar siaran radio, terutamanya apabila lagu-lagu kumpulan Ukay’s, Spin, Sting, Spring, Olan, Rahmat, Samudera, Screen, Slam, May, dan sebagainya berkumandang di corong-corong radio kerana bagi aku lagu-lagu tersebut sesuai dengan jiwa dan mampu memberikan semangat kepada aku. Namun demikian, cerita yang ingin dikongsikan bukanlah berkaitan dengan lagu kegemaran aku, tetapi berkaitan dj radio yang sering meggunakan ayat yang aku rasa tidak begitu sopan untuk didengar. Ayat yang disebutkan secara berulang kali oleh dj radio tersebut seperti:
         
Ada aku kisah...
Ada aku kisah…
Ada aku kisah…

Ayat “ada aku kisah?” sudah semakin menular ke dalam jiwa masyarakat kita pada hari ini sehingga hampir setiap hari dan tidak mengira tempat ada sahaja manusia yang menggunakan ayat tersebut dalam kehidupan sehariannya sama ada di dalam kelas, kedai makan, dalam siaran radio dan sebagainya. Ayat tersebut mungkin mengandungi pelbagai fungsi bergantung pada situasi yang dialami oleh penutur tersebut. Namun, ayat tersebut tetap merupakan bahasa yang dianggap kurang sopan dan tidak sesuai digunakan untuk berinteraksi dengan baik. 

GKB13: Teguran Boleh Membawa Padah


Salam Perpaduan,
Pada hujung minggu yang lepas aku dan sahabatku telah ke Pekan Tanjung Malim. Lagi sekali isu yang berlaku di Pekan Tanjung Malim aku utarakan sebagai salah satu isu hangat dalam diariku untuk tatapan pembaca yang budiman sekalian. Di pekan tersebut, kami berdua telah singgah di salah sebuah gerai buah-buahan keran sahabatrku ingin membeli sedikit buah untuk dijadikan sebagai pelawas. Dalam keasyikan kami memilih buah, tiba-tiba datang seorang mak cik dan menanyakan harga yang telah ditetapkan bagi buah limau. Namun, belum sempat peniaga buah itu menjawab pertanyaan mak cik tersebut, telingaku didesingkan oleh suara salah seorang pelanggan di situ yang menyampuk. Semua yang ada di situ termasuklah aku dan peniaga hanya mampu melopong sahaja. Dialognya berbunyi:

          Pelanggan 1 (Mak cik) : Berapa harga sekilo buah 
                                               limau ni?
          Pelanggan 2 (remaja)  : Masam tu mak cik, baik tak
                                               payah beli.

Walau semasam mana pun rasanya, sebagai seorang manusia kita tidak seharusnya menyekat rezeki orang lain. Sekiranya ingin menegur, maka seeloknya tegurlah dengan cara berhemah bukan dengan cara membuta tuli semata-mata. Pandanglah sekeliling dahulu sebelum kita memberikan teguran atau cadangan sedemikian kerana jika tersilap langkah buruk padahnya. Kita juga mungkin boleh disaman di atas pertututran kita yang boleh mengaibkan atau menjatuhkan maruah orang lain.

GKB12: “Bahasa Jiwa Bangsa” Perlukan Kesedaran Jati Diri Bangsanya.

Salam pembuka bicara,
Pada malam isnin aku telah membaca sebuah buku yang bertajuk “Pendidikan Pembangunan Modal Insan” sampai larut malam untuk menjalani kuiz subjek Modal Insan pada hari isnin tetapi malangnya kuiz tersebut telah ditunda pada minggu hadapan. Dalam keadaan yang mengantuk aku masih terus membaca buku berkenaan dan tertarik pada isu yang diutarakan dalam buku ini. Antara petikan yang diambil dari buku berkenaan seperti:

“jika ada kuasa luar yang hendak meruntuhkan bangsa Melayu-Islam di negara ini, maka caranya ialah musnahkan budaya bangsa itu, musnahkan iman atau keyakinan dan agama mereka, musnahkan bahasa mereka, dan jadikan mereka bangsa yang terlucut dari kesedaran jati diri bangsanya”.
                                 Hassan Ahmad (2006: 356)

Daripada petikan di atas, jelaslah bahawa “Bahasa Jiwa Bangsa” kerana bahasa merupakan cerminan bagi sesuatu bangsa. Menurut Kamus Dewan (1997: 540), jiwa itu bermaksud nyawa, roh, batin, benda, atau orang yang memberi kegiatan serta semangat kepada sesuatu pertubuhan, buah hati. Sekiranya bahasa kita telah mula terhakis daripada kehidupan bangsanya, maka akan hilanglah bangsa itu daripada peta dunia, seumpama hilangnya nyawa, roh atau batin yang menjadikan dan membolehkan jasad itu hidup dan berfungsi.

Isnin, 14 Februari 2011

GKB 11: Kata Ganti Nama Diri Kedua, “awak” Menggantikan Kata Ganti Diri Pertama, “saya” Kerana Pengaruh Dialek.

Assalamualaikum,
Pertama kali menonton filem komedi “Hantu Kak Limah Balik Rumah”, hatiku sudah tercuit dan filem tersebut membuatkan aku tergelak macam mahu pecah perut. Filem tersebut mampu menghilangkan segala tekanan dan kekusutan kepala aku yang sememangnya dihimpit dengan pelbagai tugasan yang bertimbun. Filem tersebut berlatar masyarakat, iaitu masyarakat Perak dan menggunakan dialek Perak, iaitu Kuala Kangsar. Oleh sebab itu, terdapat sedikit banyak kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang tidak begitu memahami dialek berkenaan, contohnya bagi kata ganti nama diri “awak” yang digunakan. Antara sedutan dialog yang terkandung dalam filem “Hantu Kak Limah Balik Rumah” berbunyi:


Usop: Husin...awak kalau khawin nanti, awak nak
pelamin awak tu warna pink.
Usop: Pergi balik, pasal kamulah kaki awak
jadi macam ni.




Pertama kali menonton filem tersebut, saya juga keliru dengan kata ganti diri “awak” yang digunakan, namun setelah dihayati buat kali keduanya saya mula memahami bahawa perkataan “awak” merupakan kata ganti diri orang pertama bagi masyarakat di Kuala Kangsar dan maksudnya sama dengan kata ganti diri “saya”. Hal ini disebabkan pengaruh dialek atau budaya setempat. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersyukur kerana mempunyai pelbagai variasi bahasa yang membolehkan kita menggunakan pelbagai bahasa dalam pertuturan seharian.