1000 MaCaM

"Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok".

Isnin, 31 Januari 2011

Gugurnya Kelopak Bahasa Kesepuluh : Berbagai atau Pelbagai?

 Assalamualaikum dan salam ukhuwah,
Sebagai seorang makhluk Tuhan yang normal, setiap hari kita tidak terkecuali daripada berbahasa sama ada bahasa lisan, bahasa tulisan mahupun bahasa nonverbal. Namun demikian, setiap hari juga ada sahaja masalah bahasa yang dilakukan oleh masyarakat di sekeliling kita, tidak kira bangsa, usia, jantina, darjat mahupun pangkat. Kita akan dihujani dengan pelbagai situasi yang berbeza bergantung kepada keadaan dan pelbagai faktor. Apa yang ingin saya utarakan pada coretan kali ini adalah kesalahan bahasa yang digunakan oleh seorang pensyarah saya sendiri, namun nama beliau tidak perlukan saya terangkan secara terperinci. Mungkin ada segelintir pelajarnya yang tidak perasan dengan kesalahan bahasa yang dilakukan oleh pensyarah tersebut tetapi saya sempat mencatatnya untuk dijadikan isu hangat di dalam blog GKB ini. Tutur katanya berbunyi:

          Berbagai cara yang boleh kita gunakan.
          Berbagai pendekatan…
         
Perkataan “berbagai” digunakan oleh pensyarah tersebut tanpa menggandakannya. Tidakkah kita tertanya-tanya, begitu cetekkah pengetahuan pensyarah tersebut tentang bahasa?. Sepatunya perkataan “berbagai” perlu digandakan menjadi “berbagai-bagai” ataupun gunakan sahaja perkataan “pelbagai” untuk menunjukkan perkara yang bbermacam-macam. Pada pendapat saya, seorang pensyarah perlulah mempunyai kefahaman tentang bahasa dan menggunakan bahasa dalam kehidupan seharian dengan baik supaya tidak menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan pelajarnya. Jika pensyarah menggunakan bahasa yang salah dalam pengajaran, maka sudah pasti pelajar juga akan turut terikut dengan ajarannya. Bak kata pepatah “bapa borek, anak rintik”.

Gugurnya Kelopak Bahasa Kesembilan : "Bahasa Menjunjung Budaya"

Assalamualaikum dan salam perpaduan,
Pada ketika orang lain sudah berada di kampung menikmati udara segar, menjamah makanan yang lazat, bermesra dengan keluarga tercinta, Gugurnya Kelopak Bahasa masih lagi di Kolej Harun Aminurashid atas sebab-sebab tertentu. Bagi mengisi masa lapang, GKB telah melayari internet dan memasuki laman youtube untuk mencari lagu bagi menghiburkan hati yang sunyi dan bosan. Lalu GKB tertarik dengan sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Imran Ajmain, “Bahasa Menjunjung Budaya” tajuknya. Seni katanya berbunyi:

Bahasa Menjunjung Budaya

Mari bangsaku mari saudara
Kita gunakan bahasa bonda
Sebagai lidah penggugah rasa
Cinta bahasa cinta budaya

Demi cinta kepada budaya
Kita penatar bahasa bonda
Bahasa maju budaya jaya
Maruah bangsa terpelihara

Cintailah bahasa ibunda
Cintailah budaya pusaka
Bahasa yang menjunjung budaya
Budaya nilai maruah bangsa


Hanya dengan sekali dengar sahaja lagu ini sudah berjaya menusuk ke dalam kalbu GKB kerana susunan kata-katanya yang mendalam, puitis, estetik dan penuh dengan pesan didaktik. Apabila dihayati bait demi bait, seni katanya memberikan kedamaian, keharmonian, ketenangan dan kesedaran dalam diri sendiri untuk terus mencintai bahasa ibunda dan memperjuangkannya demi memartabatkan budaya dan bangsa.  Oleh itu, marilah kita sama-sama berganding bahu memikul tanggungjawab dalam memperjuangkan bahasa ibunda demi memartabatkan budaya dan bangsa.

Ahad, 30 Januari 2011

Gugurnya Kelopak Bahasa Kelapan : "Mak long" menggantikan "maklum"


Ahlan Wa Sahlam,
Gugurnya Kelopak Bahasa (GKP) kali ini ingin mengupas tentang isu kesalahan bahasa yang berlaku dalam Facebook (FB) yang menjadi penghubung sosial yang sedang aktif pada masa kini. Semasa membelek FB, GKP terbaca status seorang makhluk Tuhan pada laman berita utama dan tertarik untuk mengupas mengenai bahasa yang digunakannya. Yang tertulis adalah seperti:

tlg tag kwan2, sesiapa yg like akan dikira pergi....
tarikh x akan diubah... harap mak long

apa yang GKB ingin kupaskan bukan berkaitan penggunaan bahasa “rojak” ataupun penggunaan singkatan, tetapi sangat teruja ingin mengupas mengenai frasa “mak long” yang digunakan. GKB sangat keliru mengenai frasa tersebut. Adakah frasa “mak long” itu digunakan untuk menunjukkan panggilan bagi emak saudara yang paling tua?. Namun demikian, jika diteliti dalam konteks ayat tersebut, GKB yakin dan percaya bahawa frasa tersebut bagi menggantikan perkataan “maklum”. Frasa tersebut boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan pembacanya. GKP bahasa sendiri pun tidak pasti sama ada si penulisnya kurang pengetahuan tentang bahasa ataupun sengaja ingin menimbulkan kontroversi. Hanya satu nasihat GKB, manfaatkanlah bahasa dengan sebaiknya kerana “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Khamis, 27 Januari 2011

Gugurnya Kelopak Bahasa Ketujuh : Tahukah anda, perkataan "hampeh" bermaksud "sampah"?

         

Salam Ukhuwah Fi Sabilillah,
Sedang sibuk kerajaan mempromosikan bahasa kebangsaan tidak lama dahulu, wujud segelintir masyarakat yang menyanggah kerajaan dengan menggunakan bahasa pasar yang bercelaru, mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dan tidak kurang juga menggunakan bahasa kasar. Bahasa kasar sudah menjadi kebiasaan digunakan dalam masyarakat Melayu. Mungkin ada sesetengah pendapat orang Melayu yang mengatakan bahawa bahasa itu sebenarnya tidak kasar, tetapi bagi majoriti, itu adalah bahasa biadap. Begitu juga dengan perkataan seperti hampeh yang digunakan oleh seorang lelaki sewaktu menonton perlawanan bola antara Manchester United (MU) dengan Leeds United beramai-ramai di sebuah kedai makan yang berdekatan. Perkataan ini keluar setelah pasukan bola sepak yang diminatinya nyaris-nyaris menjaringkn jaringan, kata-katanya berbunyi begini:

          Peminat       : huh…hampeh betol la…
   awal-awal dah bagi kat orang.

Sememangnya sudah menjadi lumrah dalam kehidupan seseorang berasa tidak puas hati terhadap sesuatu perkara. Namun demikian, lahirkanlah perasaan tidak puas hati tersebut dengan perkataan yang enak untuk disantap oleh telinga sesiapa sahaja yang mendengarnya. Jika dilihat dalam konteks ayat di atas, perkataan “hampeh” membawa maksud “sampah” , iaitu perkara yang menjijikkan. Oleh sebab itu, seseorang tidak wajar menggunakan perkataan tersebut untuk melemparkan rasa tidak puas hatinya

Gugurnya Kelopak Bahasa Keenam : ditekankan atau ditekangkang?

Assalamualaikum w.b.t.
Pada minggu ini, Gugurnya Kelopak Bahasa dihujani kekeliruan berkaitan penambahan huruf pada perkataan yang biasanya berakhir dengan huruf /n/ atau secara mudahnya boleh diibaratkan seperti ”imbuhan –g” yang digunakan oleh masyarakat Terengganu. Timbul satu pertanyaan yang berbunyi “ada juga ke imbuhan –g ni?”. Kelihatannya begitu unik, namun kadang kala menimbulkan kekeliruan kepada para pendengarnya terutama masyarakat pantai barat. Pada 25 Januari lalu, Gugurnya Kelopak Bahasa telah menyertai satu Majlis Rapatan Perpaduan yang dihadiri oleh seorang jemputan yang berasal dari negeri Terengganu. Beliau telah memberikan ucapan dengan begitu bertenaga sekali sehingga para hadirin berasa tertarik untuk mendengar dengan lebih lanjut. Namun demikian, dalam ucapan tersebut beliau banyak menyebut perkataan dengan tambahan huruf /g/. Ucapan beliau berbunyi:
         
Pengucap : Yang penting nak ditekangkang

Perkataan “ditekangkang” yang bermaksud “ditekankan” boleh menimbulkan tanggapan yang negatif oleh segelintir hadirin yang tidak begitu memahami dialek Terengganu yang digunakan. Dalam majlis sedemikian, pengucap seharusnya menggunakan bahasa dengan baik agar segala yang diucapkannya mudah difahami dan motif yang ingin disampaikan berjaya menusuk ke dalam jiwa pendengar dengan jelas dan berkesan.

Ahad, 23 Januari 2011

Gugurnya Kelopak Bahasa Kelima : Bahasa Singkatan


Assalamualaikum dan selamat pagi,

Empunya blog Gugurnya Kelopak Bahasa telah menyertai Seminar Isu-isu Sosiolinguistik pada 21 Januari lalu bersama tokoh bahasa yang terkemuka, iaitu Prof. Dr. Awang Sariyan. Beliau telah membicarakan pelbagai isu bahasa, terutamanya yang berkaitan kesalahan penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat, iaitu bahasa percampuran antara bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris dan bahasa singkatan sama ada dalam bahasa lisan mahupun penulisan. Namun demikian, saya tertarik untuk mengulas mengenai bahasa singkatan yang dibincangkan oleh beliau. Contoh kata singkatan yang saya senaraikan:

Askum (Assalamualaikum)
Sume (semua)
Chat (sihat)
Pastu (lepas itu)
Camne (macam ini)
Tima kasih (terima kasih)

Walaupun kelihatannya ringkas dan padat, namun kesan penggunaan bahasa singkatan ini cukup ketara kepada bahasa Melayu. Contohnya perkataan “chat” yang membawa maksud “sihat” boleh disalahtafsirkan kepada maksud lain, iaitu “chat” yang bermaksud “bual”. Penggunaannya yang berleluasa telah mencemarkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang melambangkan identiti dan kewibawaan bahasa kita. ''Penggunaan bahasa Melayu yang betul sebenarnya tidak perlu dipaksa jika semua pihak memiliki kesedaran yang tinggi''. Oleh itu, semua pihak harus mengambil berat terhadap gejala ini. Semua pihak harus bekerjasama bak kata “berat sama dipikut, ringan sama dijinjing” untuk menangani gejala ini sampai ke akar umbinya. “Pecah kaca pecah gelas, rosak bahasa nak baca pun malas”.

Sabtu, 22 Januari 2011

Gugurnya Kelopak Bahasa Keempat : Kata Ganti Nama

Salam,

Gugurnya Kelopak Bahasa kali ini ingin berkongsi sedikit pengalaman berkaitan kesalahan penggunaan kata ganti nama dalam kalangan warga yang bakal menjadi pendidik anak bangsa. Situasi ini berlaku dalam kelas ketika seorang pelajar menjalankan pengajaran mikro bahasa Melayu atau dikenali juga sebagai “Micro Teaching”. Pelajar dalam pengajaran tersebut berperanan sebagai seorang guru. Dialog yang digunakan dalam situasi tersebut :

            Guru : ni kawan-kawan kamu yang berani.
Tiru je diorang.


Penggunaan kata ganti nama “diorang” untuk menggantikan kata ganti nama “mereka” dalam suatu sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) adalah tidak bersesuaian sama sekali, terutamanya dalam P&P bahasa Melayu. Tujuan umum pengajaran mikro adalah mempersiapkan mahasiswa calon guru untuk menghadapi pekerjaan mengajar sepenuhnya pada masa hadapan dengan memiliki pengetahuan, keterampilan, kecakapan dan sikap sebagai guru yang professional. Oleh hal yang demikian, calon guru perlulah mempraktikkan penggunaan bahasa dengan betul supaya tidak lagi berasa kekok apabila sudah bergelar guru pada masa akan datang.

Jumaat, 21 Januari 2011

Gugurnya Kelopak Bahasa Ketiga : Percampuran Kod Bahasa atau "Rojak"

Salam perpaduan,
Kali ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman kepada pembaca setia diari saya, iaitu Dr. Siti Saniah dan rakan-rakan seperjuangan sekalian berkaitan dengan penggunaan bahasa campuran atau percampuran kod dalam berbahasa, terutamanya percampuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Bahasa campuran atau bahasa “rojak” ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Tetapi yang tragisnya, ada juga pensyarah bahasa yang menggunakan bahasa “rojak”. Situasi ini berlaku sewaktu saya ingin mengambil slip peperiksaan daripada Penasihat Akademik (PA) saya. Sebelumnya saya menyertai Seminar bahasa Melayu yang berlangsung di Dewan Seri Tanjung. Saya juga berhajat untuk menjumpai PA sesudah seminar tersebut tamat. Bagi memastikan saya dapat berjumpa dengan beliau atau tidak saya telah mengirimkan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada beliau dan beliau membalasnya. SMS tersebut seperti di bawah:

            Saya : Salam…saya Noor Zahuri, di bawah PA Dr.
                         Saya nak amik slip peperiksaan,     
                         Dr. ada tak dalam pukul 12.15?
Pensyarah : datang now.  

Jika pensyarah sendiri sudah merojakkan bahasa, pelajar pula apa lagi. Sebagai seorang pensyarah, tidak seharusnya beliau merojakkan bahasa, walaupun dalam penggunaan SMS yang biasanya mengutamakan sifat “ringkas tapi padat”, inikan pula pensyarah fakulti bahasa. Pensyarah perlulah lebih proaktif dan menggunakan bahasa mengikut rumus yang betul dan tidak mencemarkan bahasa sendiri supaya menjadi contoh atau “role model” kepada para pelajar. Hal ini kerana terdapat persepsi bahawa setiap perkara yang diajarkan oleh golongan pendidik adalah betul. Jika ingin menggunakan bahasa Melayu, maka manfaatkanlah bahasa tersebut sepenuhnya dan begitu juga sebaliknya. 

Khamis, 20 Januari 2011

Gugurnya Kelopak Bahasa Kedua : Penjodoh Bilangan dalam Dialek Kelantan




Salam,
Coretan buat kali kedua ini saya ingin membicarakan mengenai penggunaan penjodoh bilangan dalam dialek Kelantan. Rasa lucu pula apabila sesekali terdengar seseorang menuturkan penjodoh bilangan dalam bahasa Kelantan. Mahu atau tidak terpaksa jela saya menadah dan memekakkan telinga sahaja. Hendak ditegur takut menjatuhkan air muka atau dituduh memalukan dia dalam khalayak ramai pula. Jangan pula kamu semua salah anggap, bukannya saya mahu mengutuk atau memperlekehkan dialek Kelantan tetapi sekadar ingin memperbetulkannya sahaja kerana saya juga merupakan anak jati Kelantan yang sememangnya sangat gemar makan budu. Situasinya begini, semasa karnival Khar baru-baru ini saya singgah di sebuah gerai yang menjual buku yang sudah ada beberapa orang pelanggan. Dalam gerai tersebut saya membelek-belek beberapa buah buku dan terdengar perbualan antara seorang pelanggan yang merupakan seorang pelajar dengan penjual buku. Pelajar tersebut merupakan orang Kelantan kerana daripada dialek yang dituturkannya jelas menunjukkan bahawa dia sememangnya orang Kelantan. Perbualan mereka berbunyi begini:

         Pelanggan   : Pak cik, berapo hargo sebutir buku ni?
          Penjual         : Aa…murah je dik, 20 ringgit sebuah.
Keluaran terbaru tu.

Jika dilihat dalam dialog antara pelanggan dengan penjual di atas, terdapat penggunaan penjodoh bilangan dalam dialek Kelantan yang mana merupakan satu kesalahan dalam rumus bahasa. Tidak salah sekiranya ingin menggunakan dialek setempat dalam pertuturan seharian kerana dialek merupakan cerminan sejarah budaya dan merupakan variasi sesuatu bahasa yang ditimbulkan oleh faktor-faktor seperti geografi, politik, penjajahan, perdagangan, masa, dan seumpamanya. Akan tetapi, dalam penggunaan dialek setempat juga perlulah mematuhi rumus bahasa yang telah ditetapkan. Penggunaan penjodoh bilangan “sebutir” dalam dialek Kelantan adalah salah dalam rumus bahasa dan penjodoh bilangan yang sesuai untuk digandingkan dengan perkataan buku adalah “sebuah”. Oleh sebab itu, rumus bahasa haruslah dipatuhi walau dalam dialek apa jua sekalipun.

Gugurnya Kelopak Bahasa Pertama : "Bangang"



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Pertama kali hendak membuka pekung di dada rasa kekok la pulak tapi saya akan cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik. Insya’Allah… Situasi yang ingin diutarakan mengenai perbualan dua orang pelajar di dalam bas sewaktu dalam perjalanan ke kampus. Secara tidak sengaja saya mendengar perbualan mereka dan jangan salah anggap kerana bukan niat saya untuk memasang telinga. Salah seorang pelajar dalam situasi tersebut menggunakan perkataan yang kurang enak didengar  dan saya yakin bahawa orang lain juga mesti mempunyai pendapat yang sama dengan saya jika berada dalam situasi berkenaan. Perbualan tersebut berbunyi seperti di bawah:

            Pelajar A : banyaknya buku nak kena beli.
            Pelajar B : tu la, dah la duit PTPTN tak masuk lagi.
Bangang betul!

 “Bahasa jiwa bangsa”, itulah pepatah Melayu yang sering digunakan tidak kira dalam kalangan pendidik, pelajar, mahupun pekerja untuk melambangkan signifikan bahawa bahasa melambangkan adat dan budaya sesuatu bangsa. Jika seperti inilah bahasa yang digunakan oleh pelajar kita, maka rosaklah nama bangsa, runtuhlah martabat bangsa dan pincanglah ukhuwah bangsa. Dimanakah letaknya nilai sesuatu bangsa?. Jika dilihat dari aspek semantik, perkataan “bangang” ini mempunyai makna yang sama dengan perkataan “bodoh”. Sebagai seorang pelajar yang mempunyai didikan ilmu yang tinggi tidak seharusnya menggunakan perkataan tersebut dalam kehidupan seharian sehingga menjadi kebiasaan baginya. Sebaliknya pelajar perlulah mempunyai nilai-nilai positif  dalam diri serta mempraktikkanya untuk menjadi warga yang berguna kelak dengan menuturkan kata-kata yang tertib, sopan, dan sesuai dengan adat dan budaya ketimuran kita. Pepatah Melayu ada menyebut, 'yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa'. Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.

Selasa, 18 Januari 2011

Titipan Pembuka Bicara


Assalamualaikum dan salam sejahtera…

Alhamdulillah…”sudah nampak rupa rupanya blog aku nie tapi tak lawa cam orang lain punya lagi”…hehe…macam tu la suara hati berbisik…walau bagaimanapun, syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah rahmat dan izin kurnia-Nya blog yang bertajuk, “Gugurnya Kelopak Bahasa” yang membicarakan mengenai isu-isu kesalahan bahasa dalam kalangan masyarakat setempat telah dihasilkan dengan lancar dan selamat. Blog ini diciptakan khas untuk subjek Sosiolinguistik Melayu yang mewajibkan saya menghasilkan diari. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Cikgu Fawiz yang banyak memberi tunjuk ajar dan kepada sahabat baikku yang sentiasa ayu jelita, Siti Nor Aizah bt. Omar yang banyak membantu. Tidak lupa juga nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada Dr. Siti Saniah bt Abu Bakar yang banyak memberi tunjuk ajar, dorongan dan membuka serta mencambahkan mindaku untuk meneraju dunia IT dengan lebih mendalam. Semoga saya dan rakan seperjuangan berjaya menghasilkan tugasan ini dengan jayanya. Sama-samalah kita berjuang menegakkan bahasa kita kerana “Bahasa Budaya Bangsa”. Selamat Berjaya...=)


Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Bahasa yang baik jadi ingatan
Seribu tahun terkenang juga

Hendak dulang diberi dulang
Dulang berisi sagu mentah
Hendak pulang kuberi pulang
Tinggalkan komen barang sepatah