1000 MaCaM

"Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok".

Rabu, 16 Mac 2011

GKB 40: Pepatah Petitih Moden Memartabatkan Pepatah Petitih Tradisional

Salam Puisi,
Semasa mengemas buku-buku yang terdapat dalam kotak, tiba-tiba empunya blog GKB terpandang nota Puisi Melayu yang dipelajari pada semester lepas, lalu membacanya. Dalam membaca, empunya blog ini tertarik dengan catatan pada lembaran terakhir nota tersebut, iaitu berkaitan pepatah petitih moden yang diajar oleh Prof. Madya Dr. Dato’ Paduka Rosli Saludin. 
Pepatah didefinisikan sebagai kalimat yang seakan-akan sama dengan bidalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah. Pepatah merupakan Khazanah nenek moyang yang amat berharga dan digunakan oleh masyarakat dahulu untuk mematahkan percakapan orang yang dilawan bercakap. Pada zaman sekarang pepatah semakin dilupakan oleh masyarakat Melayu sendiri. Namun, terdapat segelintir masyarakat, seperti Prof. Madya Dr. Dato’ Rosli Saludin yang masih ingin memartabatkan pepatah-pepatah lama dengan memodenkannya. Antaranya seperti:


Biar putih tulang, jangan putih gigi



Di mana ada jalan, di situ ada kenderaan



Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke bawah



Tak lapuk dek hujan, tak lekang macam rambutan



Kecil tapak tangan, Tapak Sulaiman saya tadahkan



Siapa yang makan buah nangka, dia yang dapat bijinya


Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya masuk Olimpik juga



Pendekatan yang digunakan oleh Prof. Madya Dr. Dato’ Rosli Saludin untuk memartabat dan mengangkat kembali pepatah petitih lama dengan memodenkannya merupakan satu usaha yang sangat bermakna dalam dunia yang penuh dengan kecanggihan sekarang ini, walaupun pepatah petitih moden itu kelihatannya lari sedikit daripada maksud asal. Pendekatan tersebut dapat memberikan pendedahan kepada generasi akan datang dan mereka tidak terus cetek pengetahuan mengenai khazanah tinggalan nenek moyang yang sangat berharga tersebut. Generasi akan datang juga mungkin akan meneroka asal usul pepatah petitih moden yang diketahuinya dan dengan itu, pepatah petitih tradisional yang mengandungi pelbagai pengajaran, teladan, dan pedoman secara langsungnya akan terus termartabat juga.


GKB 39: Bahasa dan Dialek Kaum India

Salam perkauman,
Adakah bahasa dapat mempengaruhi budaya masyarakat atau sebaliknya, sehingga bahasa dapat menentukan kemajuan dan “mematikan” budaya bangsa?. Budaya merupakan sesuatu yang sangat penting dalam menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam kelas saya sendiri terdapat pelbagai kaum, iaitu Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya yang mempunyai budaya yang sama. 
Elemen budaya juga penting dalam menjalankan perdagangan pada zaman dahulu. Sejarahwan J.V. Sebastian, K.T. Thirunavukkarasu, dan A.W. Hamilton merekodkan bahawa Tamil merupakan bahasa yang digunakan dalam perdagangan di Malaysia dan Indonesia semasa zaman dahulu. Oleh sebab itu, selain dialek bumiputera, terdapat juga dialek dalam bahasa Tamil yang hampir sama sebutan dan ejaannya dalam bahasa Melayu. Antara kata-kata Tamil dalam bahasa Melayu adalah seperti berikut:

   
Bahasa Tamil
Bahasa Melayu
Akka
Kakak
Kadai
Kedai
Kappal
Kapal
Katikam
Ketika
Muthu
Mutiara
Nagaram
negara
Purva
Purba
raja
Raja
Suniyam
Sunyi
Tali
Tali
Vakai
Bagai
Bhumi
Bumi
Surya
Suria

Muthu/ mutiara

Kappal/ kapal

Raja/ raja
Bhumi/ bumi

Hal ini demikian kerana pertembungan antara budaya Melayu dengan budaya India menghasilkan budaya baharu melalui proses asimilasi, iaitu dari segi sistem tulisan dan bahasa. Kedatangan buruh atau pedagang India ke Tanah Melayu telah membawa bersama sistem bahasanya dan secara tidak langsung bahasa tersebut terserap ke dalam masyarakat Tanah Melayu. Kedua-dua bahasa tersebut masih digunakan sehingga sekarang, iaitu bahasa Tamil digunakan oleh masyarakat India dan bahasa Melayu digunakan oleh masyarakat Melayu di Malaysia. Tuntasnya, bahasa dan budaya merupakan dua perkara yang berbeza, tetapi kedua-duanya saling berkaitan dan tidak dapat dipisahkan kerana bahasa merupakan cerminan budaya dan identiti diri penuturnya.

Selasa, 15 Mac 2011

GKB 38: Arahan dalam Bahasa Tulisan

Salam ukhuwah,
Tinta GKB kali ini berkisarkan arahan dalam bahasa tulisan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), arahan merupakan pimpinan, kelolalan, atau perintah. 
Arahan dalam bahasa tulisan pula merupakan sesuatu catatan yang melarang atau mengarahkan seseorang melakukan sesuatu. Jika kita lihat, di mana-mana sahaja terdapatnya arahan dalam bahasa tulisan. Begitu juga di kolej kediaman Universiti Pendidikan Sultan Idris, arahan dalam bahasa tulisan terdapat hampir di setiap blok dan rumah kediaman, termasuklah juga rumah empunya blog GKB. 
Arahan dalam bahasa tulisan tersebut biasanya ditampalkan pada pintu tandas, pintu rumah, singki, tempat letak kasut, suis lampu atau kipas, dan sebagainya. Arahan tersebut berbunyi:

Tolong bersihkan bilik air yang digunakan.



Sila bertugas, harap maklum.


          
Sila buang sisa makanan apabila basuh pinggan.



Sila susun kasut anda.



Sila tanggalkan kasut sebelum masuk rumah kita.



Cikgu yang budiman, jangan alihkan saya.



Pintu rintangan api hendaklah sentiasa ditutup.




Menurut kajian dan tinjauan yang telah dilakukan, bahasa tulisan lebih berkesan daripada bahasa lisan. Kajian menunjukkan bahawa maklumat diperolehi daripada pembacaan adalah sebanyak 10 peratus berbanding dengan maklumat yang diperolehi daripada mendengar, iaitu sebanyak 5 peratus. Dalam satu kajian, Wolff, Marsnik, Tacey dan Nichols (1983) juga mendapati bahawa 52 peratus penekanan pengajaran di dalam kelas untuk kemahiran membaca dan 8 peratus sahaja untuk kemahiran mendengar. Hal ini jelas menunjukkan bahawa membaca lebih penting dan lebih diamalkan oleh setiap individu dalam memperolehi sesuatu maklumat. Oleh sebab itu, arahan dalam bahasa tulisan lebih berkesan daripada arahan dalam bahasa lisan.

Ahad, 13 Mac 2011

GKB 37: Kemek, Geluk, Ketok, Ronggak, Budu, Toyol, Botak dan Gedebok merupakan Gelaran Mesra dalam Keluarga.

Salam persaudaraan,
Setiap insan mempunyai institusi keluarga, tidak kiralah daripada keluarga yang sederhana mahupun keluarga yang kaya. Dalam institusi keluarga terdapat juga panggilan jolokan yang diberikan kepada setiap ahli keluarga bergantung pada tabiat, sifat atau kebiasaan yang selalu dilakukan. Keluarga saya sendiri mempunyai panggilan jolokan berkenaan, saya mempunyai lapan orang adik beradik dan setiapnya mempunyai nama jolokan yang tersendiri seperti kemek, geluk, ketok, keeling, budu, toyol, botak dan gedebok. Nama jolokan tersebut diberikan oleh adik-beradik yang lain bergantung kepada tabiat, sifat atau kebiasaan yang dilakukan. Contohnya, sejak dari kecil kakak saya suka berbogel dan diberikan nama jolokannya sebagai “toyol” dan jika ahli keluarga menyebut nama “toyol”, ahli keluarga lain sudah dapat mengetahui perkara yang dibincangkan berkaitan dengan siapa.

Nama jolokan ini merupakan panggilan mesra dalam sesebuah institusi kekeluargaan dan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama adik-beradik. Namun begitu, kadang kala nama jolokan ini juga menimbulkan ketegangan dan pergaduhan kecil dalam perhubungan adik-beradik saya kerana mereka tidak suka dengan nama jolokan yang diberikan.



GKB 36: Dialek Kelantan Merupakan Pinjaman daripada Bahasa Inggeris.

Assalamualaikum dan salam perpaduan,
Sebagaimana yang telah diketahui bahawa negara Malaysia telah dijajah oleh kuasa-kuasa asing beberapa tahun dahulu, dan tidak terkecuali negeri Kelantan. Penjajahan yang berlaku disebabkan beberapa faktor seperti faktor ekonomi, keadaan anarki, kebimbangan campur tangan kuasa-kuasa asing dan sebagainya. Penjajahan ini juga meninggalkan kesan kepada negara Malaysia, iaitu kemasukan buruh Cina dan India, sumber ekonomi dimonopoli oleh pihak asing, perubahan politik, pengenalan tulisan rumi, dan penyerapan atau peminjaman perkataan asing. Contohnya, di Kelantan terdapat beberapa perkataan yang dipinjam daripada bahasa asing dan perkataan tersebut sering kali dituturkan oleh saya sendiri dalam berkomunikasi dengan individu yang juga berasal dari Kelantan, terutamanya keluarga terdekat, antaranya seperti:
       
Dielek Kelantan
Bahasa Inggeris
Bekwoh
Big work
Bokk
Book
Merket
Market
Nneja
Manager
Pozek
Deposit
Rizat
result
Suwih
Switch
So’oh
So hot

Dialek Kelantan merupakan salah satu daripada variasi bahasa yang unik dan kaya, terutamanya dari segi sebutan, kosa kata, dan makna. Penyerapan bahasa asing ke dalam dialek Kelantan telah memperkayakan lagi kosa kata dalam dialek Kelantan. Dialek tersebut masih digunakan dalam masyarakat negeri Kelantan sehingga sekarang kerana perkataan-perkataan tersebut telah sebati dengan jiwa masyarakat penuturnya. Bagi terus memelihara khazanah bahasa yang cukup berharga ini, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) mengadakan rancangan Rampai Budaya, iaitu “Kayanya Bahasa Kita” yang disiarkan secara langsung melalui siaran Kelantan FM pada setiap hari Khamis, jam 5.15 petang hingga 6.00 petang. Sejak tahun 2006 rancangan ini diadakan bertujuan untuk mencari gali khazanah kekayaan dialek Kelantan agar tidak luput ditelan zaman. Di samping berupaya meningkatkan kefahaman generasi muda tentang penggunaan bahasa lama yang jarang digunakan dan tidak sebati dalam kehidupan mereka. 


GKB 35: Bahru, Bharu, Baharu dan Baru

Salam Ukhuwah Fi Sabilillah,
Bahasa Melayu sangat unik dan bervariasi kerana terdapat beberapa perkataan yang ejaan dan sebutannya seakan-akan sama, contohnya perkataan Bahru, Bharu, baharu dan baru. Kadang kala, saya juga keliru dalam menggunakan perkataan tersebut, terutamanya semasa menghasilkan tugasan yang dipertanggungjawabkan dan sering tertanya-tanya, unutk menghasilkan ayat tertentu, adakah perkataan baru ataupun baharu yang wajar digunakan?. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 105 dan 131), baharu membawa maksud baru. Berdasarkan pembentukannya, boleh dianggap kependekan kepada baru, iaitu pengguguran suku kata tengah (ha). Manakala di bawah entri baru pula, terdapat 10 makna diberikan, iaitu:

1.    belum (tidak) ada sebelumnya, yang belum lama wujud (dikeluarkan, diterbitkan) : negara-negara baru; kereta jenis baru; majalah baru,

2.    belum pernah atau belum lama dilaksanakan (dicuba, digunakan) : cara-cara baru,

3.   belum dipakai lagi atau belum lama dipakai; basikal baru,
4.    belum lama lagi menjadi atau berlaku (bekerja, bertindak) : murid baru, ketua baru,
5.    masih segar (belum lama dipetik, ditangkap) : ikan baru,
6.    moden: angkatan baru,
7.    belum berapa lama lagi (dahulu): saya baru datang,
8.    apabila saja, sesudah: baru digertak, dia sudah lari,
9.    pada masa itulah, pada ketika tertentu (berikutan dengan sesuatu) : selepas saya jelaskan, baru dia sedar,
10.     kelihatan masih cantik atau tidak terjejas (kerana belum sering digunakan, terpelihara dengan baik)
Di sini akan diperjelaskan mengenai perkataan-perkataan tersebut agar pengguna bahasa mendapat petunjuk yang jelas dan tidak melakukan kesilapan dalam penggunaannya. Penggunaan kata baru dan baharu telah ditentukan dan ditetapkan bahawa perkataan baru merupakan kata bantu yang merujuk kepada masa atau waktu, iaitu belum berapa lama lagi, sesudah, tidak lama sebelum ini dan sebagainya yang dipadankan dengan kata Inggeris, iaitu just, manakala kata baharu pula merupakan kata adjektif yang membawa maksud tidak buruk, kelihatan cantik kerana belum pernah atau belum lama dipakai atau kerana terpelihara dengan baik yang sepadan dengan kata Inggeris, iaitu new. Kata Bahru dan Bharu pula digunakan untuk kata nama khas. Kesimpulannya, kata baru digunakan untuk merujuk masa atau waktu, manakala kata baharu pula digunakan untuk maksud sifat atau adjektif. Kata Bharu dan Bahru pula digunakan sebagai kata nama khas. Contoh ayat seperti:

  • Kakak baru tiba dari Australia petang tadi.
  • Pekerja baharu di pejabat itu sangat rajin dan berdedikasi.

  • Dia baru sahaja bertolak ke Johor Bahru sebentar tadi.

  • Keluarga saya menetap di Kota Bharu, Kelantan.

GKB 34: Pelbagai Dialek Negeri dalam Lagu


Salam dihulur, sapa diberi, semoga sejahtera diri,
Negara Malaysia kaya dengan pelbagai bahasa daerah atau dikenali sebagai dialek. Dialek juga boleh diertikan sebagai loghat atau pelat dan merupakan satu kelainan bahasa yang berbeza daripada segi bentuk sebutan, tatabahasa dan kosa kata berbanding bahasa baku. Dialek negeri dapat dilihat dalam lagu-lagu negeri, contohnya lagu “Anak Tupai” bagi negeri Kelantan, “Terengganu kita” bagi negeri Terengganu, “Apo Kono Eh Jang” bagi Negeri Sembilan, “Durian Dah Berbunga” bagi negeri Perak dan sebagainya. Dalam kelas Sosiolinguistik Bahasa Melayu sendiri, pensyarah, iaitu Dr. Siti Saniah telah menayangkan video lagu dalam dialek Kelantan, “Anak Tupai” oleh Halim Yazid dan telah mengupas dengan lebih terperinci mengenainya dari segi kosa kata, sebutan, tatabahasa, dan sebagainya.
         
          

Lagu dalam dialek Kelantan atau juga dikenali sebagai lagu Dikir Barat tersebut mengandungi mesej yang cukup bermakna dan disimbolikkan hanya dengan seekor tupai, iaitu perbuatan yang jahat akan terbongkar juga bak kata pepatah ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’. Dialek atau bahasa daerah yang digunakan dalam lagu-lagu juga mampu memberikan pendedahan kepada masyarakat agar memahami setiap dialek yang dituturkan oleh masyarakat di setiap negeri dalam negara yang sama, iaitu Malaysia. Di samping itu, dialek yang digunakan dalam lagu-lagu juga boleh mengeratkan ikatan silaturrahim sesama masyarakat jika semua masyarakat pandai bertutur dan berkomunikasi dengan menggunakan dialek semua negeri. Contohnya, jika masyarakat Selangor bertutur dengan masyarakat Kelantan dengan menggunakan dialek Kelantan, perhubungan mereka akan menjadi lebih mesra dan ikatan silaturrahim dapat dijalinkan.