1000 MaCaM

"Saya percaya; esok sudah tidak boleh mengubah apa yang berlaku hari ini, tetapi hari ini masih boleh mengubah apa yang akan terjadi pada hari esok".

Ahad, 13 Mac 2011

GKB 27: Ucapan Terima Kasih, Sederhana tapi Bermakna

Salam persaudaraan,
Hari ini GKB hendak bercerita tentang merendah diri dalam erti kata berterima kasih sesama makhluk Allah s.w.t. yang ada dalam dunia ini tanpa mengira jenis, rupa atau perangai makhluk itu. Setiap kejadian ada kegunaannya kepada kita, walaupun tidaklah berguna mana tetapi tetap akan ada sekecil-kecil kegunaan.
Pelbagai cara boleh dilakukan sebagai tanda berterima kasih dan yang paling senang dilakukan adalah melalui percakapan. Bak kata pepatah Melayu, “kata-kata adalah lebih tajam daripada mata pedang”. Kata-kata dan mata pedang disimbolikkan kerana kata-kata yang dilafazkan lebih memberi kesan pada seseorang. Ucapan “terima kasih” biasanya diucapkan oleh seseorang pada saat menerima sesuatu daripada orang lain sama ada berupa bantuan, hadiah atau pemberian. Ucapan “terima kasih”, walaupun sederhana tetapi sangat bermakna kerana apabila kita mengucapkan “terima kasih”, sudah tentu orang itu merasa sangat dihargai setelah memberi pertolongan walaupun sekadar menghulurkan sehelai tisu apabila diminta.
Pada zaman dunia yang penuh dengan kecanggihan sekarang ini, ucapan “terima kasih” kadang kala tidak terucap pada saat kita menerima bantuan daripada orang lain. Namun, warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) masih lagi kaya dengan sikap merendah diri dalam erti kata berterima kasih ini. Setiap kali apabila turun dari bas, pelajar-pelajar UPSI akan mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas sebagai tanda penghargaan terhadap jasanya yang mengambil dan menghantar pelajar ke tempat kuliah. Oleh itu, ringankanlah bibirmu untuk mengucapkan terima kasih. Di kesempatan ini jugak, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca setia blog GKB. Namun, bukan sekadar berterima kasih pada sesama makhluk di bumi tetapi yang lebih penting, kita sebagai hamba-Nya wajib berterima kasih kepada Pencipta, iaitu Allah s.w.t atas segala nikmat dan kurniaan-Nya yang tidak terhingga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan